Kerajaan Menanggung Hampir RM1 Bilion Jika Beku Kenaikan Tol.

Kerajaan Tanggung Hampir RM1 Bilion Jika Beku Kenaikan Tol – Menteri

PETALING JAYA: Kerajaan membelanjakan sebanyak RM994.43 juta bagi membekukan semua kenaikan kadar tol di lebuh raya dalam bandar bermula 1 Januari 2019, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata keputusan itu diambil setelah jemaah menteri pada 12 Disember lalu bersetuju untuk membekukan kenaikan kadar tol bagi semua kelas kenderaan di 21 lebuh raya di seluruh negara walaupun semua tol terbabit layak dinaikkan pada 2019.

“Ini adalah satu penambahbaikan ketara kepada pengumuman Belanjawan 2019. Pembekuan kenaikan kadar tol di 21 lebuh raya secara komprehensif di seluruh negara bagi 2019.

“Pembekuan kadar tol bagi bas di 8 lebuh raya berasingan pada tahun yang sama serta pemansuhan tol motosikal di Jambatan Pulau Pinang (Jambatan Pertama Pulau Pinang) dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Jambatan Kedua Pulau Pinang) serta di Lebuhraya Laluan Kedua di Johor bermula 1 Januari 2019, akan melibatkan kos kerajaan yang dianggarkan sebanyak RM994.43 juta bagi tahun hadapan.

“Langkah pemansuhan ini dianggarkan memerlukan peruntukan RM20 juta setahun daripada kerajaan untuk bayaran pampasan mulai 1 Januari 2019,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah kerajaan menganggarkan pembekuan kadar tol bagi semua kelas kenderaan di 21 lebuh raya akan melibatkan kos bayaran pampasan yang dianggarkan berjumlah RM972.75 juta kepada syarikat konsesi lebuh raya berkenaan untuk 2019.

Katanya, jemaah menteri bersetuju membekukan kenaikan kadar tol untuk kenderaan Kelas 5 (bas) dengan anggaran kos RM1.68 Juta di 8 lebuh raya berasingan.

“Kerajaan sedang mengkaji kaedah terbaik untuk memenuhi janji manifesto yang terkandung dalam Buku Harapan. Pembekuan ini adalah sebahagian daripada usaha tersebut,” katanya.

Sumber: Freemalaysiatoday.com

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*