Maya Karin bakal berlakon filem Abang Long Fadil 3

Maya Karin bakal berlakon filem Abang Long Fadil 3

BUKAN sahaja terkenal sebagai pelakon berkarakter, jelitawan bernama Maya Karin juga cukup sinonim dengan keprihatinannya terhadap isu alam sekitar. Seiring mandat yang dipegangnya sebagai Duta River of Life, pelakon filem Munafik 2 itu menyeru agar orang ramai menjaga kebersihan sungai.

Masakan tidak, ketika menyertai aktiviti gotong-royong di Sungai Batu, Gombak baru-baru ini, dia terkejut apabila lambakan sampah sarap yang tidak sepatutnya dijumpai di tepi dan dalam sungai seperti botol plastik, lampin bayi bahkan sofa terpakai serta bahagian kereta yang rosak.

Justeru, Maya mengharapkan agar kesedaran sivik dapat dipupuk dengan kerjasama semua pihak demi memulihara kelestarian sungai di negara kita.

Maya, 39, yang kini muncul dengan single terbaharu berjudul Gateway duet bersama Kaka Azraff turut berkongsi perkembangannya karier lakonannya.

Bakal muncul dengan filem terbaharu arahan pengarah Ghaz Abu Bakar berjudul Bulan dan Pria Terhebat, Maya juga dalam rencana untuk terlibat filem Abang Long Fadil 3 arahan sutradara, Syafiq Yusof.

KOSMO!: Boleh Maya ceritakan sedikit tentang tugas anda sebagai Duta Real of Life dan program gotong-royong dilakukan baru-baru ini?

MAYA KARIN: Sebagai duta ikon River of Life, saya bertanggungjawab untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang pemuliharaan sungai yang semakin tercemar. Aktiviti gotong-royong ini akan berlangsung selama lima minggu berturut-turut. Program gotong-royong yang diberi nama ‘Green Sg. Baru For All’ anjuran bersama Travelog Combi Selangor itu akan diteruskan untuk beberapa lokasi seterusnya di Selangor seperti Kampung Sungai Kertas, Kampung Nakhoda, Kampung Melayu Batu Caves, Kampung Batu Caves Selatan dan Batu Caves Indian Settlement.

Apa yang boleh anda kongsikan apabila mendapati kesedaran sivik dalam kalangan rakyat Malaysia tentang kepentingan penjagaan sungai masih rendah?

Sangat menghampakan kerana selain barang-barang kecil seperti botol plastik, lampin bayi dan beg plastik, saya terkejut kerana barang-barang ‘besar’ seperti kerusi turut dibuang ke dalam sungai. Apa yang orang fikirkan, sangat tidak logik. Rasa hormat kita terhadap alam sekitar terlalu rendah. Kalau saya campak sofa terpakai depan rumah mereka, apa mereka rasa?

Selain kerja sosial, boleh kongsi sedikit tentang perkembangan seni terbaharu anda?

Single terbaharu saya berjudul Getaway featuring Kaka Azraff baru sahaja dilancarkan. Alhamdulillah, setakat ini penerimaan pendengar sangat bagus.

Bagaimana pula dengan projek lakonan?

Selepas ini, saya akan muncul dengan filem arahan Ghaz Abu Bakar berjudul Bulan dan Pria Terhebat.

Dalam pada itu, saya bakal terlibat dengan filem Abang Long Fadil 3.

Saya belum tahu bagaimana karakter yang akan dimainkan, namun saya percaya dengan kredibiliti Syafiq Yusof sebagai pengarah untuk menonjolkan karakter itu nanti.

Seronok rasanya kerana dapat berlakon dengan Zizan Razak. Saya berharap dapat buat lawak sama piawaian dengan Zizan apabila penggambaran bermula nanti. Insya-Allah.

 

Sumber : Kosmo

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*