Trafik Bukit Aman dan Singapura bekerjasama kekang penunggang tiada lesen masuk Malaysia.

Trafik Bukit Aman dan Singapura bekerjasama kekang penunggang tiada lesen masuk Malaysia

Datuk Azisman Alias berkata, tindakan penunggang motosikal itu menjadi trend terbaharu bagi mengelak daripada dikesan kamera AES.
KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Singapura untuk memastikan tiada penunggang motosikal yang tidak berlesen dari negara itu masuk ke Malaysia.

Menurut Pengarahnya Datuk Azisman Alias, ia susulan seorang daripada sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi dari negara itu yang menutup nombor plat ketika melalui lebuh raya di selatan tanah air awal Januari lalu didapati tidak memiliki lesen yang sah.

“Mereka dikesan kesalahan tidak pamer nombor kenderaan, manakala yang tidak ada lesen nanti saya akan melihat sama ada ramai atau tidak warganegara Singapura yang tidak ada lesen ini.

“Jika ada senarai itu saya akan maklumkan pihak trafik Singapura untuk diambil tindakan di sebelah sana melalui ibu pejabat saya,” ujarnya.

Diminta mengulas mengenai tindakan lapan penunggang motosikal itu, beliau percaya ia trend terbaharu bagi mengelak daripada dikesan Kamera Penguatkuasaan Automatik (AES) dibawah selian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Siasatan mendapati, kesemua mereka hanya menampal pita pelekat pada nombor pendaftaran motosikal ketika memasuki lebuh raya di negara ini.

Bagi memastikan perkara itu tidak berulang, arahan telah dikeluarkan ke seluruh pengurusan trafik negeri untuk memantau lebih kerap di beberapa kawasan yang dikenal pasti.

“Kita sentiasa ada dan saya beri arahan semua elemen trafik di negeri beri tumpuan kepada kenderaaan kenderaan bila mereka datang dari Singapura mereka mematuhi untuk melepaskan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Johor dan Singapura.

“Mereka buat taktik baharu begitu apabila memasuki lebuh raya mungkin mereka boleh seronok memecut laju tapi mengancam pengguna lebuh raya,” jelasnya.

Video lapan penunggang motosikal berkuasa tinggi itu tular di laman sosial sejak minggu lalu sehingga mengundang pelbagai reaksi netizen.

Ia dipercayai berlaku 13 Januari lalu ketika kesemua penunggang motorsikal itu dalam perjalanan dari Singapura ke utara tanah air.

Bagaimanapun tindakan pantas polis berdasarkan maklumat orang awam, kesemua mereka berjaya ditahan di kawasan rehat dan rawat Pagoh Johor sebelum lima daripada mereka disaman serta-merta.

Salah seorang didapati tidak mempunyai lesen menunggang yang sah.

 

Sumber : aawani

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*